31 Ogos 2003

Merdeka, UMNO, dan Ishak Mohamad

Di tengah-tengah kemeriahan sambutan merdeka ini, saya teringat akan seorang sahabat saya, Ishak Mohamad. Ishak, bagi saya, merUpakan seorang aktivis UMNO yang langka pada zaman kini. Dia memegang kuat idealisme pemimpin-pemimpin UMNO yang sekaligus pejuang kemerdekaan dulu. Dia berjuang di cawangannya, Kemus, Alor Gajah, tanpa pamrih, tanpa mengharapkan apa-apa. Perjuangannya murni demi kemajuan masyarakat cawangannya. Banyaklah usaha yang dilakukannya. Sebagai contoh, dia berusaha menggerakkan usaha menternak kambing pada tahun 80-an untuk mendorong pemuda-pemuda di kampungnya berdikari. Saya ketika itu bekerja di Kuala Lumpur, juga turut menyumbang sebagai tanda sokongan. Begitu juga rakan sekerja, Suhaimi Hamid (kini pengarang majalah Hidayah). Tapi usahanya gagal. Kenapa? Tentu banyak sebabnya. Mungkin belia-belia itu belum sedia menerima perubahan. Mungkin mereka tidak faham matlamat projek itu. Mungkin ada yang tak suka, iri dan dengki. Mungkin dan seribu kemungkinan.

Ishak merupakan tokoh di cawangannya yang altruisme, bukan egois. Dia sanggup mengorbankan diri dan keluarganya demi parti dan masyarakat. Sementara ada segelintir pemimpin yang mengambil kesempatan dalam parti untuk kepentingan diri sendiri. Sehingga ada yang berpendapat, idealisme dan cara yang ditempuh oleh Ishak hanya sesuai pada tahun 40-an hinga 50-an saja. Dengan kata lain, jika Ishak hidup pada zaman Dato' Onn, tentulah dia menyerlah!

"Bagaimana hendak membantu orang, kalau diri sendiri tidak berkemapuan dari segi material. Oleh itu, kita kayakan diri sendiri dulu, barulah dapat membantu orang yang perlu bantuan." Tapi Ishak tidak menempuh cara itu. Mulutnya amat berat kalau dia terpaksa meminta bantuan ini itu kepada mereka yang sepatutnya memberi bantuan.

Dia suka berterus terang dan menongkah arus. Cara ini membuat dirinya amat sukar survive dalam politik. Kalau dia nampak sesuatu yang tidak kena, dia dengan lantang menegur, tak peduli kedudukan seseorang, tak terkecuali tokoh parti. Dia pernah tewas dalam pemilihan pemuda bahagain Alor Gajah dengan majoriti yang tipis.

Dia juga pernah membangkitkan semangat patriotisme dengan sambutan merdeka yang penuh meriah di kampungnya, jauh sebelum orang lain membuatnya seperti kita lihat kini. Dia memimpin tunjuk perasaan membantah pihak pengurusan A Fomosa Water World yang berhampiran kampungnya kerana menggunakan nama peninggalan penjajah. Dia menggesa orang-orang kampungnya memulaukan pusat rekreasi tersebut.

Itulah sebahagian usaha Ishak, seorang anak merdeka, pada zaman anak-anak muda tidak peduli dengan itu semua. Adakah Ishak tewas dalam perjuangannya? kelihatannya ya, tapi hakikatnya: TIDAK!