16 Jun 2005

Pembedahan Jantung cukup mahal bagi orang yang tak mampu


Senja di Danga Bay, JB

Rabu, 8 Jun lepas, aku melawat pakcikku di Hospital Pakar, Johor Bahru. Namanya Baharuddin, tapi aku memanggilnya Cik Nen kerana dia adik bongsu ayahku. Dia mengalami masalah jantung. Doktor menasihatkan agar dia dioperasi secepatnya. Masalahnya adalah wang. Sebelum operasi, Cik Nen harus meletakkan deposit sebanyak RM 30,000.00 (Tiga puluh ribu ringgit Malaysia). Bagi orang yang berpendapatan kais pagi makan pagi seperti Cik Nen, di mana hendak mencari wang sebanyak itu dalam waktu seminggu ini. Doktor hanya memberi kesempatan seminggu saja. Kerana mereka tidak bertanggungjawab lagi jika pembedahan ditangguhkan lebih lama.

Cik Nen tinggal di Tanjung Pinang, Bintan, Kepulauan Riau. Dia ditemani oleh isteri dan anak lelaki sulungnya yang baru saja tamat pengajian S1 (degree) dan belum bekerja. Aku sendiri tidak memiliki wang tunai sebanyak itu. Kalau pun dapat membantunya tidaklah seberapa dan tidak mencukupi.

Hanya satu saja harapan, iaitu adik iparnya yang tinggal di Johor, Darus, yang berjualan di pasar malam. Darus mempunyai seorang sahabat yang juga jirannya sewaktu di kampung di Kuok, Kampar, Riau. Sahabatnya ini juga penjaja buah di pasar-pasar malam di Johor. Mereka berdua inilah yang mengusahakan mencari duit tunai sebagai deposit pembedahan Cik Nen.

Aku menceritakan hal ini untuk memaklumkan betapa seorang jiran yang tiada pertalian darah sanggup mengeluarkan wang simpanan membantu orang dalam kesusahan. Aku sendiri pun tidak mampu. Semoga Allah memberi ganjaran setimpal kepada mereka berdua. Semoga perniagaan mereka maju dan dimurahkan Allah rezeki untuk mereka.

Dengan bantuan tersebut Cik Nen telah menjalani pembedahan (bypass) hari Jumaat, 10 Jun 2005. Operasi bermula 9:30 dan berakhir 16:30. Alhamdulillah, semalam doktor membenarkannya pulang. Namun dia harus datang lagi untuk pemeriksaan lanjut. Jadi buat sementara dia masih berada di JB, menumpang di rumah iparnya.

Satu masalah telah selesai, tapi masalah lain pula yang timbul. Bagaimana hendak membayar wang yang telah dipinjamkan itu? Inilah nasib orang yang tidak mampu, harus memikirkan pula masalah yang berat sedang diri masih sakit yang sepatutnya tidak boleh memikirkan perkara-perkara yang dapat menjejaskan kesihatan.

Aku mengajak pembaca mendoakan Encik Baharuddin (Cik Nen) mudah-mudahan Allah memberikan jalan dan rezeki yang halal kepadanya. Mudah-mudahan hutangnya dapat dijelaskan. Amin!

Tiada ulasan: