14 April 2007

Penulis "Ulama Nusantara" meninggal dunia

Inna liLlahi wainna ilaihi raji'un.

Penulis "Ulama Nusantara", Wan Muhammad Shaghir Abdullah meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak, Kuala Lumpur hari Khamis pukul 10.50 pagi kerana serangan angin ahmar.

Anggota keluarga terdekat dan sahabat handai berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir

Allahyarham yang berusia 62 tahun, meninggalkan isteri, Hamidiah Abdul Majid, 48, dan enam orang anak berusia antara 11 dan 25 tahun.

Beliau dilahirkan di Pulau Midai, Riau, Indonesia ini kini menjadi penduduk tetap Malaysia. Wan Mohd Shaghir, berasal dari keturunan ulama dengan datuknya, Syeikh Ahmad al-Fatani adalah ulama terbilang Nusantara. Ibunya berketurunan keluarga besar Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.

Beliau seorang tokoh ilmuwan yang tidak asing dalam dunia manuksrip klasik Melayu, banyak menghabiskan hidupnya untuk menggali teks klasik tulisan ulama Nusantara.

Usaha beliau dalam menggali dan mengumpul khazanah itu bukan mudah. Pada usia 12 tahun lagi, beliau sudah mengembara ke seluruh Asia Tenggara bagi menghimpun khazanah itu.

Empat dekad mengembara, pelbagai ranjau dihadapi, kini penat jerih dan kesabarannya boleh dibanggakan.

Beliau kini memiliki beratus-ratus manuskrip asli sama ada dalam tulisan Jawi atau Arab. Ada antaranya berusia lebih 500 tahun dan tidak boleh didapati di mana-mana perpustakaan, muzium atau arkib di rantau ini.

Dalam usahanya itu, beliau berjaya menghasilkan 100 judul karya asli yang memaparkan biografi ulama, karya, pemikiran, sejarah perjuangan mereka termasuk membuat analisis terhadap mereka. Antaranya Sui dan Wali Allah; Fatwa Binatang Hidup Dua Alam; Syeikh Daud Abdullah al-Fatani Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.

P.S: Saya sebenarnya telah lama berhasrat untuk menemui beliau, namun tidak kesampaian. Semoga Allah mencucuri rahmatnya kepada beliau ... al-Fatihah