13 Ogos 2007

Konvo dan E-Skroll

Waktu terlalu cepat berlalu. Ogos tahun lalu kami menghadiri konvo anak kami Warith di Unimas (Fakulti Perubatan). Ogos tahun ini anak kedua pula menyusul, Walid di MMU Cyberjaya (FIT - Software Engineering).

Walid hari ini menerima e-skrol (e-scroll) dari Tun Dr Siti Hasmah Hj Mohd Ali, Canselor MMU.

MMU merupakan universiti yang pertama di dunia menganugerahkan e-skrol kepada graduannya yang ditandatangani secara digital. Ia disimpan di dalam CD-ROM dan direkodkan di dalam kad pintar yang berasaskan mikrocip.

Para graduan boleh mengepilkan e-skrol mereka ketika mengajukan permohonan 'on-line' sebagai menggantikan skrol kertas.

Pada skrol kertas, tandatangan asal penandatangan skrol diperlukan dan belum tentu dapat dijamin kesahihannya. Ia boleh diubah pada bila-bila masa sahaja. Tetapi dokumen yang ditandatangani secara digital seperti e-skrol menggunakan teknologi kekunci kriptografi umum. Teknologi ini dapat menjamin kesahihan sepenuhnya e-skrol MMU. Hanya penandatangan asal e-skrol yang boleh mengubahnya.

Jika calon majikan ingin memeriksa kesahihan e-skrol, mereka bolehlah melawat laman Pendaftar Graduan (http://registry.mmu.edu.my).

Dengan adanya sistem ini MMU mampu menghindarkan pemalsuan dokumen sekaligus menerajui sistem pentadbiran elektronik di Malaysia. Tahniah Walid. Tahniah MMU.