31 Ogos 2007

Makna Merdeka

Merdeka adalah lepasnya sebuah negara dari belenggu penjajahan dalam konteks Malaysia (31/8/1957) dan Indonesia (17/8/1945). Singapura pula memisahkan diri dari Malaysia (9/8/1965) dan merayakan Hari Kebangsaan (National Day.)

Indonesia terpaksa berhempas pulas dengan menumpahkan darah untuk mencapai kemerdekaan. Dengan laungan Allahu Akbar dan senjata bambu runcing mereka berjuang mengusir penjajah Belanda yang cuba merebut kembali kepulauan Indonesia yang dijajah selama 350 tahun.

Malaysia pula berbangga dengan kebijaksanaan diplomasi Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakan sehingga memperoleh kemerdekaan lebih awal dari yang dijangkakan tanpa menumpahkan darah.

Di ambang merdeka semalam Malaysia merayakan kembali detik-detik penurunan Union Jack dan mengibarkan Jalur Gemilang. Perdana Menteri YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengulangi kembali laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.

Dalam ucapannya beliau mengulangi lagi pekikan merdeka kerana beliau ingin tahu sejauh mana semangat generasi muda kini. Hanya beliaulah yang boleh menilai siapa lebih hebat kerana beliau sendiri hadir menyaksikan Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka 50 tahun yang lalu.

Tentunya, semangat dan makna merdeka berbeza antara generasi 1957 dengan generasi 2007.

Ambang merdeka juga disambut di semua negeri di Malaysia. RTM telah mewawancara Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
perihal merdeka.

Perkataan merdeka (dalam bahasa Arab: al-Hurriyah, al-Istiqlal), menurut beliau tiada dalam al-Quran. Yang ada hanyalah Hidayat dan Taufiq. Begitulah sedikit yang dapat saya dengar. Kalau salah tolong betulkan.

Berbicara tentang merdeka ini, saya teringat akan ucapan Rub'i bin
Amir ketika berhadapan dengan Rustum, panglima pasukan Parsi:

إن الله ابتعثنا، لنخرج من شاء، من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديانإلى عدل الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة


"Allah mengutuskan kami, agar kami keluarkan (merdekakan)
manusia daripada mengabdikan diri pada sesama manusia kepada mengabdikan
diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan
daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."


"Janganlah kamu menjadi hamba seseorang kerana Allah telah
menciptakan kamu dalam keadaan merdeka," demikian Ali bin Abi Thalib

Jelaslah bahawa merdeka yang sebenarnya, bebas dari belenggu perhambaan sesama manusia. Kita hanya mengabdi, memperhambakan diri kita kepada Ilahi. Mengabdi kepada Ilahi bererti patuh, taat, cinta dan kasih kita hanya untuk Dia. Ikutilah petunjukNya!

Manusia merdeka mampu berfikir dan bertindak untuk diri dan manusia seluruhnya tanpa
rasa takut kerana tiada yang perlu ditakutinya kecuali
Allah s.w.t.

Ketika manusia telah berikrar dengan dua kalimah syahadah secara sedar, maka dia telah memerdekakan dirinya. Tiada lagi ketakutan.

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, hanya untuk Allah, Tuhan yang mengatur alam semestta," demikianlah ikrar kita lima kali sehari semalam. Suatu ikrar kemerdekaan!


Technorati Cosmos: other blogs commenting on this post